Sunday 27 November 2011

LAGI BERKENAAN SURAH AL-KAHFI

Kuliah Ibrah Daripada Surah al-Kahfi Melabuhkan Tirainya
March 8th, 2011 by Abu Saif 12:56 am | 8,186 views | Print | Email | Leave a reply »

Sebahagian daripada buku rujukan yang saya gunakan di sepanjang siri Kuliah ini. Buku utamanya adalah Ma’a Qasas al-Sabiqeen fee al-Qur’aan oleh Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khaalidi

Alhamdulillah!

Kuliah bersiri Ibrah Daripada Surah al-Kahfi tamat malam ini.

Setelah setahun lebih menelusi empat kisah besar di dalam Surah itu, malam tadi di Surau an-Naim Wangsa Maju, kembara jemaah bersama kisah Ashaab al-Kahf, Lelaki Kafir Pemilik Dua Kebun, Musa dan Khaidir ‘alayhima al-Salaam dan Dzulqarnain, berakhir dengan rumusan Sayyid Qutb berkenaan teladan penting kisah Dzulqarnain.

Keempat-empat kisah utama yang terkandung di dalam Surah Makkiyyah ini, mendukung proses yang amat besar. Ia membetulkan sistem kepercayaan, membetulkan pandangan hidup dan cara berfikir (world view and mindset), dan ia juga membetulkan sistem nilai. Inilah rumusan sahib Tafsir fee Dhelaal al-Quran tentang enjin di sebalik peranan Surah al-Kahfi membentengi umat Islam daripada fitnah Dajjal.


Biar pun saya berusaha mengekalkan pembentangan pada hanya memperincikan apa yang diperincikan oleh Allah dan Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam, dan meninggalkan apa yang ditinggalkan oleh al-Quran dan al-Sunnah, kuliah Ibrah Daripada Surah al-Kahfi ini tetap memerlukan saya untuk membaca pelbagai bahan, sama ada yang menyokong atau bertentangan, yang datang dari sumber Islam mahu pun bukan Islam.



Salah satu slaid Powerpoint© yang digunakan semasa kuliah


KISAH ASHAAB AL-KAHF

Kisah ini membetulkan kepercayaan, serta cara untuk mempercayai sesuatu.

Ia adalah sebuah kisah yang amat ringkas pada jalan penceritaan. Namun ia dinobat sebagai kisah paling utama Surah ini. Ringkasnya cerita yang dianggap cerita terpenting, menyebabkan sebahagian kita cuba untuk meluaskan penceritaan dengan mencedok penjelasan di luar al-Quran dan al-Sunnah. Akan tetapi, jika kita komited dengan kaedah al-Quran membentangkan sejarah, yakni kisah-kisah umat terdahulu, kita akan menyingkap 1001 rahsia di sebalik kehalusan Allah Subhanahu wa Ta’aala memilih perkataan di dalam bait-bait wahyu Al-Quran.

Menegur peminat dan pembangga kisah pelik, membetulkan tanggapan terhadap anak muda, menghuraikan keunikan Rahmat Allah yang diminta Ashaab al-Kahfi, kerjasama tentera-tentera Allah yang tersirat untuk menyokong pemuda itu, keunikan umat Tauhid yang mempunyai sistem hitungan kalendar pada sebutan 300 tahun tambah 9, sikap orang awam dan ahli bid’ah pada membina masjid di atas kubur Ashaab al-Kahfi serta pelbagai lagi huraian tentang kepercayaan, cara berfikir dan cara menilai, menghiasi kisah ringkas tetapi kaya dan padat ini.

Ia memfokuskan kepada fitnah Aqidah yang menjadi senjata berbahaya Dajjal menyesatkan umat.

KISAH KAFIR PEMILIK DUA KEBUN DAN SAHABATNYA SEORANG MUKMIN

Kisah ini diperselisihkan Ulama sama ada ia kisah yang benar-benar berlaku atau ia sekadar tamsilan.

Namun dek kepentingan isi serta pembentangannya yang selari dengan tiga kisah lain di dalam Surah al-Kahfi, maka kita cenderung kepada pendapat Ulama’ yang menerima kisah ini sebagai kisah yang benar-benar terjadi biar pun kosong dari nama watak, serta tiada kisah yang selari dengannya di dalam Israiliyyat.

Ia membetulkan cara memandang lelaki kafir yang dua kebunnya subur dengan pelbagai tanaman, mengeluarkan hasil bersilih ganti tidak berhenti-henti, hingga tidak terbayangkan semua itu ada ajalnya. Menafikan Kiamat dan cuba menyedapkan hati dengan meyakinkan diri bahawa kekayaan dunia juga adalah kekayaan Akhirat, kepercayaan lelaki kafir yang kaya raya itu dibetulkan dengan nasihat mudah tetapi mendalam rakannya yang Mukmin.

Jangan disangka semua yang berhasil itu berada di dalam genggaman tangan sendiri, justeru sebutlah Masya Allah, Laa Quwwata illaa biLlaah tatkala melihat kesuburan tanaman yang diusaha.

Betulkan cara kita menaggap kehidupan.

Jangan tertipu oleh keindahan dunia transit hingga lupa kepada hakikat destinasi sebenar yang dituju.

Kisah ini menyediakan diri seorang Mukmin pada mendepani fitnah harta kekayaan sebagai senjata penyesat manusia.

KISAH PENGEMBARAAN MUSA DAN KHAIDIR ALAYHIMA AL-SALAAM

Ada peringkat-peringkat tertentu di dalam perjalanan hidup ini, yang Allah tangguhkan hikmahnya untuk digarap oleh akal manusia yang terhad.

Menjaga diri di dalam pelukan sabar, melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat, tidak gopoh dalam mengejar faham, bersabar dan ikhlas dalam usaha mencari ilmu mengenal diri, alam dan Tuhan, kesemuanya dibentangkan dengan begitu unik di dalam kisah ini.

Ilmu yang datang bersama rahmat Allah.

Ilmu yang datang secara terpisah daripada rahmat-Nya.

Fitnah ilmu, turut menjadi lorong-lorong fitnah Dajjal menyesatkan umat.



Sebahagian jemaah ketika hadir ke kuliah-kuliah di Surau an-Naim – Foto ihsan surau-annaim.blogspot.com

KISAH DZULQARNAIN

Luasnya kerajaan Dzulqarnain, sama luasnya dengan kupasan yang wujud di dalam legasi ilmu tentang beliau.

Cyrus atau Alexander, mana satu Dzulqarnain? Yakjuj Makjuj itu Yahudi, Cina atau Turki? Siapakah kaum-kaum yang ditemuinya di dalam tiga kembara ke Barat, Timur dan Utara? Kesemua soalan itu enak dijadikan bahan kajian, hingga kita mungkin akhirnya terlupa, bahawa paksi utama kisah ini adalah Dzulqarnain dan kuasanya.

Dzulqarnain dipaparkan sebagai contoh mithali seorang pemimpin, yang Aqidahnya benar, Pandangannya luas dan bernas. Penilaiannya adil dan mengangkat penilaian Tuhan, Dzulqarnain membentangkan watak peribadi pemimpin yang Soleh, serta watak peribadi pemimpin yang berwawasan. Dia tidak menjadikan posisinya sebagai peluang mengaut kepentingan diri, tidak memperhambakan rakyat di wilayah baru, tidak memanipulasi kemunduran jiwa dan pemikiran rakyat.

Dzulqarnain memaparkan bentuk good governance yang baik, sebagai teladan buat pemimpin yang menjunjung Taqwa.

Dzulqarnain bukan sahaja berintegriti tinggi, malah kompetensinya luar biasa.

Beliau bukan sahaja menerima pelbagai kelebihan ilmu dan kemahiran, malah lebih utama beliau itu memanfaatkan kelebihan-kelebihan tersebut, serta memelihara tatacara kerjanya seperti yang ditunjukkan di dalam kembaranya ke daerah Utara.

Adunan besi dan tembaga sebagai pengukuh radmun (gunung binaan), tidak sama sekali mengatasi sadd (gunung ‘semulajadi’), malah ketika berada di kemuncak pencapaian sains dan teknologi, Dzulqarnain memulangkan segalanya kepada Rahmat Allah, serta mengingatkan ajal segala makhluk, termasuk tembok agung yang hari sudah rebah, hingga wajah Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam menjadi merah, tatkala mimpi diperlihatkan Allah, Yakjuj dan Makjuj tidak lagi terkurung di belakang tembok, tetapi sudah menjadi sebahagian komuniti dunia.

Maka Laa Haula wa Laa Quwwata illaa Billaah!

Fitnah kuasa, juga bertindak sebagai cabang musibah Dajjal menyesatkan manusia. Wal’iyaadhabillaah!



Sebahagian contengan nota

Semoga siri kuliah ini diberkati Allah dan lunyainya buku digantikan dengan ganjaran Mardhatillaah buat penyampai dan penerima, ameen.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG


Saifulislam.Com kini dihoskan di sebuah Dedicated Server. Sumbangan anda untuk membiayai kos operasinya amat dialu-alukan. Jazakumullahu khayr al-jazaa'






--------------------------------------------------------------------------------


© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2011)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

1 comment: