Tuesday, 27 December 2011

SIHIR PEMBUNGKAM DAN ILMU CUCA.

KUALA LUMPUR: Sihir yang digunakan untuk mengunci mulut atau menyebabkan individu yang ‘terkena’ bercakap merapu dikenali sebagai ilmu pembungkam atau ilmu cuca.

Pengamal perubatan Islam di Pusat Rawatan Terapi al-Quran Darul Hikmah di Alor Star, Kedah, Abdul Malik Lazim, berkata sihir itu biasanya ‘dikenakan’ terhadap peguam, saksi mahkamah atau pengantin yang mahu diijabkabulkan supaya mereka tidak dapat berkata-kata.

“Individu itu tahu apa yang hendak dikatakan tetapi disebabkan terkena sihir mulut mereka seolah-olah terkunci, atau tidak boleh bercakap. Ilmu cuca boleh dikenakan kepada individu atau sehingga tujuh keturunan mangsa menyebabkan mereka hilang keyakinan untuk bercakap,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pengakuan peguam syarie yang menjadi sasaran ilmu hitam bagi menghalang mereka menjalankan tugas di mahkamah.

Naib Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, yang mendedahkan perkara itu, berkata beliau bukan saja dimaklumkan oleh PGSM mengenai hal itu malah turut mempunyai pengalaman gangguan ilmu hitam ketika di mahkamah.

Menjelaskan lanjut mengenai ilmu itu, Abdul Malik berkata, ia biasanya dihantar dengan bacaan jampi serapah atau mengikat benang tiga warna dengan hujung simpulan di bahagian punggung pengamalnya.

“Mereka memuja benang itu sebelum mengikat di pinggang menyebabkan mangsa sukar buka mulut,” katanya.

Menurutnya, antara kaedah untuk mengelak terkena sihir jenis itu, amalkan bacaan Surah al-Mulk setiap kali selepas Solat Isyak. “Selain itu antara doa lain adalah membaca surah al-Falaq tiga kali sebelum keluar rumah dan sentiasa dalam keadaan berwuduk,” katanya.

http://bliss-infinity.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Post a Comment